Informasi Jalur Gemilang (Kemahiran Membaca)

0 ULASAN PELAJAR
JALUR GEMILANG
Bendera Malaysia mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri - Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu dan Kerajaan Persekutuan.

Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi Malaysia. Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Semasa sambutan kemerdekaan ke 40, pada 31 Ogos 1997 Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad telah memilih nama Jalur Gemilang bagi bendera Malaysia.

Kemahiran Berfikir ( Sila berikan respon anda )

3 ULASAN PELAJAR

Semua murid diminta meneliti gambar bendera negeri-negeri di atas.

1.Mengapakah setiap negeri di Malaysia mempunyai bendera masing-masing?

2.Mengapakah bendera-bendera tersebut mempunyai warna yang berbeza-beza?


Mari Menyanyikan Lagu Jalur Gemilang (Didik Hibur)

0 ULASAN PELAJAR
Teliti gambar bendera.  Bincangkan dengan guru dan rakan-rakan tentang lambang dan warna pada bendera ini.



Jalur Gemilang

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa merdeka
Semarak jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur gemilang... di bawah naunganmu
Jalur gemilang... kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia
Jalur gemilang... megah kami terasa
Jalur gemilang... kibarkanlah wawasan
Merah putih biru kuning
Jalur semangat kami semua

Berkibarlah
Berkibarlah
Berkibarlah

Jalur gemilang

Petikan Dialog (Kemahiran mendengar dan bertutur)

0 ULASAN PELAJAR
Lakonkan dialog di bawah dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul.


                        JALUR GEMILANG


Ahmad   :  Hai, kawan-kawan! Lukisan Jalur Gemilang yang Cikgu Sani
                   suruh buat, dah siap? Saya ditugaskan mengumpulnya.

Balan      : Jalurnya berbelas-belas. Belum siap warna lagi.

Chong    : Eh, salah warna jalur tu, Balan! Kenapa warna merah jalur tu
                   seakan-akan warna ungu?

Ahmad   : Yalah, Balan. Gunakan warna merah terang pada jalur dan  
                  diselang-selikan dengan warna putih. Petak kiri  pula   warnakan
                   dengan biru gelap. Bulan dan bintangnya warna kuning.

Balan      : Oh, terima kasih kerana menegur! Saya warnakan semula.

Chong    : Nah, yang ini gambar bendera saya!

Ahmad   : Awak dah kira bilangan bucu bintang tu? Betul tak?

Balan      : Jangan lupa kira jalurnya sekali.

Ahmad   : Sepatutnya, bucu dan jalur ada empat belas. Jalur-jalur  ini  mewakili 14 buah negeri di Malaysia. Bulan dan bintang pula bermaksud agama Islam sebagai agama rasmi.

Chong    : Apa maksud warna kuning dan biru pula?

Balan      : Saya tahu, kuning melambangkan warna diraja. Tapi maksud warna biru, saya lupalah.

Ahmad   : Bukankah Cikgu Sani dah beritahu. Biru ertinya perpaduan.

Chong    : Oh, baru saya ingat! Merah tanda berani dan putih pula  tandanya suci.

Ahmad   : Hah, pandai  pun! Cepat letakkan lukisan masing-masing di atas meja saya.

Latihan Pemahaman

0 ULASAN PELAJAR
Jawab soalan-soalan berikut berdasarkan dialog yang dibaca.



1.    Apakah tugasan yang diberi oleh Cikgu Sani ?
____________________________________________________­­­­­­­­­­­___________

2.    Siapakah yang belum menyiapkan tugasan ?
_________________________________________________________________

3.    Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Balan ?
________________________________________________________________

4.    Pada pendapat kamu, bagaimanakah sikap Ahmad ?
________________________________________________________________

5.    Apakah maksud bulan dan bintang pada bendera ?
________________________________________________________________

Aktiviti Perbincangan (Kecerdasan Pelbagai)

0 ULASAN PELAJAR
Semua pelajar dikehendaki berbual dan berbincang di dalam kumpulan seramai 5 orang tentang perbezaan bendera Jalur Gemilang dengan Bendera Negeri Melaka


Aktiviti Pemulihan

0 ULASAN PELAJAR

Aktiviti disediakan untuk murid-murid yang menjalani aktiviti pemulihan